Halangan Terhadap Penubuhan Malaysia
Tindakan Parti Brunei
Pada awal tahun 1962, Sultan Omar
melantik sebuah suruhanjaya bagi meninjau pandangan rakyat Brunei tentang
gagasan Malaysia, namun laporan ini tidak pernah diterbitkan. Ini terjadi
kerana pemimpin Parti Rakyat Brunei, A.M. Azahari menentang dan menyatakan
bahawa Brunei akan menjadi tanah jajahan sekiranya menyertai Sarawak. Beliau
mencadangkan penubuhan kerajaan Kalimantan Utara yang terdiri daripada Brunei,
Sabah dan Sarawak namun usul ini ditolak oleh Majlis Undangan Negeri Brunei.
A.M. Azahari membuat keputusan memberontak dan mengisytiharkan kemerdekaan
Kalimantan Utara pada 8 Disember 1962. Namun pemberontakan tersebut berjaya
ditumpaskan oleh British. Rundingan diteruskan namun kata sepakat masih gagal
dicapai. Akhirnya Brunei menarik diri daripada menyertai Persekutuan Malaysia
pada Julai 1963.
A.M AZAHARI
Tuntutan Filipina ke atas Sabah
Pada Jun 1962, Kerajaan Filipina
membuat tuntutan ke atas negeri Sabah bagi pihak waris Sultan Sulu. Filipina
mendakwa bahawa Sabah hanya dipajak dan bukannya dijual oleh Sultan Sulu kepada
Baron Von Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1874. Pajakan itu juga didakwa
telah dibatalkan pada tahun 1958. kerajaan British tidak melayan tuntutan
tersebut. Setelah gagasan Malaysia dikemukakan, kerajaan Tanah Melayu juga
tidak berhasrat untuk mengembalikan semula Sabah kepada Filipina atau
menjadikan isu tuntutan itu sebagai halangan kepada penubuhan Malaysia. Pada
bulan Februari 1963, kedua –dua pihak setuju berunding di London tetapi
rundingan itu gagal kerana kerajaan British enggan mengiktiraf kedaulatan
Filipina ke atas Sabah. Oleh kerana tuntutan itu tidak dilayan, hubungan antara
kedua-dua negara itu menjadi renggang.
Konfrontasi Indonesia
Pada peringkat awal, Indonesia
menyokong gagasan Malaysia. Kerajaan Indonesia juga menyampaikan ucapan selamat
atas usaha kerajaan Tanah Melayu itu dan mengharapkan pembentukan Malaysia akan
berjaya. Dalam surat Dr. Subandrio, Menteri Luar Indonesia yang disiarkan oleh
akhbar New York Times bertarikh 13 November 1961, beliau berkata:
As an example of our honesty and
lack of expansionist intent, one fourth of the island of Kalimantan (Borneo)
consisting of three Crown Colonies of Great Britain, is now becoming the target
of Malayan Government for a merger. Of course, the people there are
ethologically and geographically very close to the others living in Indonesia
territory. Still, we do not show any objection toward this Malayan policy of
merger. On the contrary, we wish the Malayan Government well if it can succeed
with this plan
Walau bagimanapun, tidak lama
kemudian, sikap kerajaan Indonesia mula berubah dan mengecam gagasan Malaysia
sebagai satu bentuk penjajahan baru di Asia Tenggara. Perubahan sikap ini
disebabkan hasutan daripada Parti Komunis Indonesia (PKI) sehingga mendorong
Presiden Sukarno mengisytiharkan konfrontasi terhadap Malaysia dari segi
ekonomi dan sosial dengan melancarkan kempen “Ganyang Malaysia”. Indonesia
menuduh gagasan Malaysia mewakili kuasa-kuasa neokolonialisme. Tindakan
Indonesia menjadi lebih agresif sehingga membawa kepada pencerobohan tentera di
Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak
Selepas pengisytiharan Malaysia
pada 16 September 1963, hubungan diplomatik dengan Indonesia diputuskan.
Malaysia juga mengambil langkah mengadakan perjanjian pertahanan dengan negara
Britain, New Zealand dan Australia.
Konfrontasi mula reda selepas
peristiwa Gestapo 30 September iaitu perebutan kuasa antara Parti Komunis
Indonesia dan Tentera Nasional Indonesia. Presiden Sukarno sendiri tidak
mengetahui bahawa pegawai-pegawai kanan tentera telah berunding dengan wakil
Malaysia di Bangkok dan Hong Kong. Tentera Indonesia telah menumpaskan PKI pada
bulan September 1965. Peralihan kuasa ini membuka perdamainan antara Indonesia
dan Malaysia. Pada Jun 1966, Tun Abdul Razak dan Tun Adam Malik (Menteri Luar
Indonesia) telah berunding dan menandatangani satu perjanjian di Bangkok bagi
memulihkan hubungan antara kedua-dua negara.
Gagasan MAPHILINDO
Berikutan dengan perbalahan di
antara tanah Melayu dengan Indonesia dan Filipina, satu sidang kemuncak
diadakan di Manila dari 30 Julai hingga 5 Ogos 1963 antara Presiden Sukarno,
Presiden Macapagal dan Tunku Abdul Rahman. Mereka bersetuju untuk mengadakan
kerjasama antara ketiga-tiga negara melalui satu pertubuhan kerjasama serantau.
Gabungan ini dikenali sebagai MAPHILINDO iaitu singkatan bagi Malaysia,
Philippines dan Indonesia. Pemimpin Indonesia dan Filipina bersetuju untuk
menerima penubuhan Malaysia dengan syarat sebuah suruhanjaya khas di bawah
penyeliaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diwujudkan untuk meninjau
pandangan rakyat di Sabah dan Sarawak terhadap gagasan Malaysia. PBB telah
menghantar satu suruhanjaya yang diketuai oleh Lawrence Michaelmore untuk
meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak serta meneliti kerja-kerja yang
ditugaskan oleh Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya Khas PBB telah menjalankan
tugas dari 16 Ogos hingga 5 September 1963.
GAGASAN MAPHILINDO
Apa yang terkandung dalam Suruhanjaya Cobbold dan peranannya untuk Sabah dan Sarawak?
Suruhanjaya Cobbold ialah satu
suruhanjaya dibentuk untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak.
Suruhanjaya ini dinamakan Suruhanjaya Cobbold sempena nama mengerusinya, Lord
Cobbold.
Ahli suruhanjaya
o Lord Cobbold
o Sir Anthony Abell
o Sir David Watherston
o Mohd. Ghazali bin Shafie
o Wong Pow Nee
Bidang Tugas
o Meninjau pandangan penduduk
Sabah dan Sarawak tentang rancangan penubuhan Malaysia
o Menilai kesemua pandangan yang
diberi
o Membuat syor-syor yang
bersesuaian
Suruhanjaya ini menjalankan
penyiasatan selama 2 bulan iaitu dari 19 Februari hingga 18 April 1962 .
Laporan Suruhanjaya Cobbold dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan Tanah
Melayu dan kerajaan British pada bulan Jun 1962. Laporan ini mengesahkan bahawa
80 % penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia iaitu
a. ⅓ menyokong pembentukan
Malaysia tanpa mengambil kira syarat-syarat percantuman
b. ⅓ lagi setuju dengan
pembentukan Malaysia dengan pelbagai syarat dan jaminan yang mendatangkan
faedah kepada kedua-dua pihak.
c. Baki ⅓ pula terbahagi kepada 2
bahagian iaitu pihak yang mahukan supaya kedua-dua negeri merdeka dahulu
sebelum menyertai Malaysia dan mereka yang mahu British terus memerintah untuk
beberapa tahun lagi.
Penduduk yang menentang
pembentukan Malaysia dengan apa jua syarat adalah hanya 20% daripada
keseluruhan penduduk di Sabah dan Sarawak. Antara syor-syor yang dikemukakan
oleh Suruhanjaya Cobbold adalah:
a. Persekutuan yang bakal
ditubuhkan dinamakan “Malaysia”
b. Sabah dan Sarawak mempunyai
ketua negeri mereka sendiri
c. Majlis perundangan Sabah dan
Sarawak diberi kuasa menentukan dasar agama dan imigresen
d. Peraturan-peraturan kewangan
akan diadakan bagi tujuan pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak
e. Kedudukan bumiputera
dikekalkan.
f. Sabah dan Sarawak diberi
bantuan kewangan bagi pembangunan ekonomi untuk tempoh lima tahun pertama
selepas menyertai Malaysia
Pada 1 Ogos 1962, kerajaan
British dan Tanah Melayu mengumumkan bahawa kedua-dua kerajaan menerima dengan
sebulat suara hampir semua cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold dan
menetapkan Malaysia ditubuhkan pada 31 Ogos 1963 kerana hari kemerdekaan Tanah
Melayu jatuh pada tarikh yang sama. Sabah dan Sarawak juga setuju dengan tarikh
tersebut.
Tuan Fuad Stephens, Ketua Menteri
Sabah yang pertama ketika mengisytiharkan kemerdekaan Sabah di Padang Merdeka
47 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan